fb fb fb fb fb

Dua peguam bergelar Datuk antara ditahan terlibat skim Ponzi

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 11 April - Polis menahan lapan individu termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk dipercayai terbabit dalam kes penipuan pelaburan berasaskan skim Ponzi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman pada 20 Mac lalu menerusi Op Northern Star hasil tindakan rentas negara berdasarkan maklumat Notis Merah daripada Interpol.

“Kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 44 hingga 62 tahun kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan berpusat di negara jiran dengan modus operandi skim Ponzi bagi memperdaya mangsa.

“Hasil siasatan juga berjaya membawa kepada pembekuan dan penyitaan pelbagai aset membabitkan jumlah keseluruhan dianggarkan RM3.7 bilion

“Antara aset yang dirampas dan dibekukan ialah 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1,160,166,195.74 serta 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2,005,900,000.

“Selain itu, turut dirampas ialah 10 buah kenderaan mewah, 13 utas jam tangan mewah, wang tunai pelbagai mata wang asing dan Ringgit Malaysia, dua unit barang kemas, enam telefon bimbit, dua komputer riba, empat beg tangan mewah serta pelbagai dokumen penting,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, semua harta dan barangan terbabit dipercayai merupakan hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan berkenaan manakala kesemua suspek telah direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN