fb fb fb fb fb

KPWKM arah pusat jagaan kanak-kanak ditutup, 18 penghuni diselamatkan

PKMD Hulu Langat turut mengeluarkan arahan penutupan premis tersebut bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terbabit terjamin/Foto Facebook Pusat Jagaan Kanak-Kanak Persendirian

KAJANG, 11 April -   Sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu 9, Cheras, diarah tutup serta-merta susulan tular video mengenai layanan terhadap kanak-kanak di premis itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dua penjaga premis terbabit turut diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan.

KPWKM berkata, pemeriksaan dijalankan oleh Pegawai Diberi Kuasa (PBDK) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 18 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 16 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan telah diselamatkan daripada pusat jagaan berkenaan.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di PKMD Hulu Langat untuk proses saringan awal,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah awal, PKMD Hulu Langat turut mengeluarkan arahan penutupan premis tersebut bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terbabit terjamin.

Dalam pada itu, KPWKM menegaskan pihaknya memandang serius kes berkenaan dan JKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa.

“JKM akan mengambil langkah susulan yang sewajarnya demi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak ini sentiasa terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak boleh menghubungi Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp 019-2615999 bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya.

Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas berusia 66 dan 68 tahun yang juga pemilik serta penjaga rumah perlindungan kanak-kanak itu ditahan polis kerana disyaki mendera penghuni premis itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pasangan itu ditahan kira-kira pukul 3.20 petang susulan laporan dibuat seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mendakwa dimarahi dan ditampar pada pipi kiri.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

GRACE AISYAH KEDAYAN