KUALA LUMPUR, 11 April - Tiga lelaki tempatan yang dipercayai menjadi keldai dadah sindiket pengedaran syabu ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kuala Lumpur di sekitar Lembah Klang, 5 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan itu turut membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 104 kilogram bernilai RM3.33 juta.
Menurut beliau, sindiket terbabit dikesan menggunakan perkhidmatan kurier sebagai keldai dadah untuk menghantar bekalan ke Sarawak melalui laluan udara.
“Pemeriksaan dalam sebuah bilik hotel menemui dua beg bagasi mengandungi 70 bungkusan plastik disyaki berisi syabu seberat 72.8 kilogram.
“Sementara itu, pemeriksaan di bilik lain dalam hotel sama berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan merampas satu lagi beg bagasi mengandungi syabu seberat 31.2 kilogram,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu.
Manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis morfin.
Ketiga-tiga suspek terbabit direman tujuh hari bermula 6 April hingga esok sebelum dijangka disambung reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan disebat.