fb fb fb fb fb

Maritim tahan bot nelayan tempatan langgar syarat lesen

Bot tersebut ditahan sekitar pukul 10.30 pagi oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia/Foto APMM

TANJONG MANIS, 11 April - Maritim Malaysia menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C selepas dikesan melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di kawasan larangan kira-kira empat batu nautika barat Tanjung Manat, di sini, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tanjong Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, bot berkenaan dikesan berada kurang 12 batu nautika dari pantai, sekali gus melanggar syarat lesen yang telah ditetapkan.

“Bot tersebut ditahan sekitar pukul 10.30 pagi oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia ketika melakukan pemantauan Op Sejahtera di kawasan perairan Tanjong Manis.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga awak-awak, kesemuanya warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mahkos, pemeriksaan lanjut turut mendapati bot itu menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan tanpa kebenaran.

Katanya, kesemua kru bot bersama bot tersebut dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

“Maritim Malaysia sentiasa komited menjalankan rondaan dan pemantauan berterusan khususnya sepanjang musim perayaan bagi memastikan semua pemilik bot mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

“Tindakan ini juga bertujuan menjaga kelestarian sumber perikanan dan memastikan keselamatan perairan negara terus terkawal,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut ke talian 011-35727765 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha penguatkuasaan Maritim Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN