BALIK PULAU, 11 April - Taktik licik sindiket pengedaran dadah tumpas apabila sepasang kekasih bersama dua lelaki warga asing diberkas dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Barat Daya, dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, tangkapan pertama melibatkan sepasang kekasih di kawasan Permatang Damar Laut hasil risikan dan maklumat awam.
“Hasil soal siasat terhadap pasangan berusia 38 dan 42 tahun itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar di kawasan Glugor pada 10 April lalu, kira-kira pukul 3.30 petang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, pasangan kekasih terbabit didapati mempunyai rekod dadah dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari hingga 17 April, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 17 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat hampir 17 kilogram, dengan nilai rampasan dianggarkan RM38,493.00
“Turut disita dalam operasi itu ialah dua buah motosikal dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Menurutnya, rampasan ganja itu dianggarkan mampu digunakan oleh hampir 25,000 penagih dadah di negeri ini dan kawasan berdekatan.
"Dadah berkenaan dibeli pada harga RM1,200 sekilogram dan dijual semula dengan harga lebih tinggi sekitar RM3,000 sekilogram.
“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.