JOHOR BAHRU, 11 April – Seorang bapa tunggal mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak di lokasi berasingan sekitar daerah Kulai, awal bulan ini.
Tertuduh, Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok dan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan pertama, Abdur Razzaq didakwa merompak harta milik seorang wanita warganegara Indonesia berusia 52 tahun, selain dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa dalam kejadian di Jalan Sri Putra Satu, Bandar Putra, Kulai, kira-kira pukul 8.45 pagi, 4 April lalu.
Antara barangan yang dilaporkan dilarikan ialah sebuah beg hitam, sebentuk cincin, dan seutas rantai tangan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Maisarah Hassan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak sebuah beg sandang, telefon bimbit serta beberapa barangan peribadi milik seorang wanita tempatan berusia 37 tahun, dengan mendatangkan ketakutan bahawa kecederaan akan berlaku terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah kedaidlobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, Kulai, pada tarikh yang sama.
Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 untuk kedua-dua kes, dan menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.