fb fb fb fb fb

Sindiket seleweng LPG bersubsidi tumpas di Hilir Perak

Foto KPDN Perak

TELUK INTAN, 11 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah premis perniagaan di daerah Hilir Perak, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata premis berkenaan dipercayai dijadikan stor penyimpanan barangan kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.

“Tindakan ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan OP Tiris 2025 yang dijalankan hasil risikan dan pemantauan selama seminggu oleh pasukan penguat kuasa kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan yang dilakukan sekitar pukul 12.35 tengah hari, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang juga pemilik premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Pemeriksaan lanjut menemukan 311 tong LPG 14 kilogram pelbagai jenama, 1,002 tong LPG 12 kilogram, dan 12 tong LPG 50 kilogram, selain 514 tong kosong pelbagai saiz dan jenama.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM183,318.20.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki dan menyimpan barangan kawalan tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN