KUALA TERENGGANU, 11 April – Seorang peniaga wanita mengalami kerugian sebanyak RM26,100 selepas ditipu menerusi urusan jual beli dan tempahan hamper yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 46 tahun menerima pesanan menerusi WhatsApp pada 7 April daripada seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai ‘Dahlia’ dan membuat tempahan sebanyak 135 unit hamper berisi kurma dan coklat kononnya bagi majlis sambutan hari raya universiti pada 10 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 April, suspek dikatakan membuat tambahan tempahan sebanyak 145 unit dan turut memberikan nombor telefon kononnya milik pembekal kurma serta coklat untuk memudahkan urusan pembelian.
Menurut Azli, mangsa yang terdesak untuk mendapatkan bekalan dalam tempoh singkat telah menghubungi nombor berkenaan dan membuat tiga kali bayaran berjumlah RM26,100 menggunakan wang simpanan serta pinjaman daripada rakan.
“Walaupun barangan berjaya diterima pada 10 April, suspek tidak hadir untuk mengambil tempahan seperti dijanjikan dan tidak lagi menjawab sebarang panggilan,” ujarnya.
Mangsa yang curiga kemudian menghubungi pihak UiTM Dungun dan dimaklumkan tiada sebarang tempahan dibuat oleh pihak universiti.
Satu laporan polis telah dibuat pada 12.36 tengah hari semalam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.