KUALA LUMPUR, 13 April – Seramai 103 warga asing ditahan dalam satu operasi bersepadu dikenali sebagai Op Kutip yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur pagi tadi.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi yang dijalankan hasil risikan Bahagian Penguatkuasa Imigresen itu melibatkan seramai 52 pegawai dan anggota.
Dalam operasi tersebut, seramai 136 individu warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 103 telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Mereka terdiri daripada 80 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, lima warga Myanmar, empat warga India dan seorang lelaki warga Yemen. Mereka yang ditahan terdiri daripada 80 lelaki dan 23 wanita berusia antara 21 hingga 58 tahun,” katanya.
Kesemua individu berkenaan telah dibawa ke JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk proses dokumentasi lanjut.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk memasuki negara tanpa pas imigresen yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c).