fb fb fb fb fb

Disyaki cabul empat murid, guru muzik ditahan

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 18 November - Polis menahan seorang guru muzik berusia 54 tahun selepas disyaki mencabul empat murid sekolah rendah dalam kejadian di sebuah sekolah di Kuala Nerus, Khamis lalu.

Tangkapan terhadap lelaki itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia antara tujuh hingga 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kesemua mangsa mendakwa perbuatan tidak senonoh itu berlaku antara pukul 12.00 hingga 12.30 tengah hari pada 13 November lalu.

Susulan itu, suspek telah ditahan di rumahnya semalam dan direman selama lima hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

EZA YUSMAWATI YAACOP