SEREMBAN, 14 April- Seorang lelaki maut dalam kejadian tembak-menembak dengan polis awal pagi tadi, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penculikan seorang remaja perempuan di Seremban, minggu lalu.
Mangsa culik, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, diculik sekitar pukul 5.45 petang pada 10 April di kawasan Avenue, Seremban. Suspek telah menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta, namun keluarga mangsa hanya sempat membayar RM280,000 dan menyerahkan beberapa barang kemas.
Mangsa akhirnya dibebaskan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 8.30 malam keesokan harinya, di kawasan Nusari Bayu, Sendayan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan, susulan siasatan, pihaknya mengesan sebuah kereta kira-kira pukul 4.15 pagi tadi di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi.
"Cubaan untuk menahan kenderaan tersebut membawa kepada aksi kejar-mengejar apabila suspek bertindak agresif dan merempuh dua kenderaan polis.
"Dalam kejadian itu, berlaku tembak-menembak yang berakhir dengan kematian seorang suspek lelaki berusia 21 tahun. Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Turut ditemui di lokasi kejadian ialah sepucuk pistol semi-auto jenama Colt dan sebilah parang.
"Hasil operasi susulan, polis berjaya menahan enam individu lain iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 20 hingga 31 tahun di sekitar Negeri Sembilan, termasuk di Jalan Tiara, Sendayan," katanya.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa turut merampas wang tunai berjumlah RM230,000 serta beberapa barangan lain yang sedang dalam proses semakan.
Polis masih mejalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian dan motif sebenar kumpulan yang terlibat.