fb fb fb fb fb

Syarikat anjur skim pelaburan KDF haram kaut RM140 juta diserbu

Anggota penguatkuasa menyusun daun tembakau virginia yang dirampas/Foto hiasan Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Mac –Beberapa buah premis milik syarikat dan syarikat amanah dipercayai mendalangi skim pelaburan haram dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF) diserbu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Serbuan dilakukan susulan aduan daripada pelabur KDF yang tidak berpuas hati dengan pihak syarikat kerana gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan.

“Operasi itu dijalankan serentak di tiga lokasi berbeza iaitu di KL Sentral, Petaling Jaya dan Seberang Perai dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia,”menurut kenyataan SSM.

Skim Pelaburan KDF mula ditawarkan kepada orang awam sekitar September 2021 hingga Januari 2023 dan telah mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 orang pelabur.

“Modus operandi Skim Pelaburan KDF ialah pelabur dijanjikan dengan pulangan sekitar 3% sebulan dan selepas 12 bulan, pelabur akan menerima semula wang pelaburan mereka.

“Dikatakan skim pelaburan KDF ini dianjurkan bagi membiayai projek penanaman pokok kenaf di Cuping, Perlis,” jelas kenyataan itu.

Siasatan awal turut mendapati Skim Pelaburan KDF ini tidak berdaftar bawah Akta Skim Kepentingan 2016 serta KetuaPegawai Eksekutif syarikat yang mendalangi Skim Pelaburan KDF adalah merupakan seorang individu bankrap.

Siasatan dijalankan bagi kemungkinan kesalahan bawah Seksyen 43 Akta Syarikat 2016, Seksyen 198 Akta Syarikat 2016, Seksyen 213 Akta Syarikat 2016 dan Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016.

“Hasil daripada operasi serbuan tersebut, pihak SSM telah menyita rekod-rekod akaun syarikat, dokumen-dokumen berkaitan penganjuran KDF dan telefon bimbit milik suspek,” menurut kenyataan sama.

Susulan tindakan itu, SSM mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko.

Sebarang pertanyaan, layari portal rasmi SSM atau melalui talian telefon 03-7721 4000 dan emel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

MAT YUNUS BIN SABRI