KUALA LUMPUR, 7 Mac- Saksi pertama kes tuntutan saman sivil antara SRC International (SRC) terhadap Datuk Seri Najib Razak mendedahkan, pihaknya tidak pernah membuat sebarang pengesahan sama ada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan wakil kepada bekas Perdana Menteri itu.
Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai menjelaskan, Jho Low sendiri memperakukan dirinya sebagai wakil penasihat kepada Datuk Seri Najib, yang pada ketika itu adalah Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd, selain memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.
Semasa sesi soal balas yang dikendalikan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu memberitahu, Jho Low juga mengaku sebagai wakil sekutu Datuk Seri Najib dalam pelaburan-pelaburan SRC kepada pengurusan kanan BSI.
Namun, dia bersetuju bahawa tidak ada sesiapa dalam BSI telah membuat semakan sama ada pengakuan Jho Low itu sebagai penasihat Najib adalah benar atau sebaliknya.
Saksi juga bersetuju, urus niaga oleh SRC yang disalurkan kepada dana fidusiari tidak mungkin terjadi sekiranya BSI membuat semakan terhadap dakwaan Jho Low itu terlebih dahulu.
Ketika ditanya mengenai sama ada dokumen diperlukan sebagai kelaziman kepada mana-mana pihak untuk menjadi representasi, saksi mengiyakan.
Saksi juga bersetuju amalan ‘jual nama’ sudah menjadi satu kebiasaan terutamanya di negara ini.
Malah menurutnya, Jho Low telah menjual nama beberapa individu penting termasuk Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Prosiding dijadual bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.