fb fb fb fb fb

Polis Johor rampas dadah bernilai lebih setengah juta ringgit, tahan enam individu

Sebahagian daripada dadah yang dirampas

JOHOR BAHRU, 7 Mac- Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih setengah juta ringgit menerusi enam serbuan dijalankan secara berasingan di sekitar Johor Bahru dan Seri Alam pada 1 petang, 4 Mac sehingga satu pagi Selasa lalu.

Operasi khas itu turut menahan enam individu berumur 22 hingga 39 tahun terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan serta dua wanita warga asing.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar berkata sindiket dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dengan menjadikan kediaman kondominium dan rumah teres sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.  

"Sindiket ini terlibat dalam pengedaran semua hampir semua jenis dadah yang menjadi tarikan utama dalam pasaran, jadi mereka seperti borong 'one stop center', jumlah dadah rampasan adalah sebanyak RM510,628 dan dalam operasi ini juga pihak polis berjaya menyita enam kereta dengan nilai sitaan RM405,000,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala warga asing terlibat disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sejak 1 Januari lalu sehingga semalam, 5,061 orang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan rampasan sebanyak 1.25 tan.

Nilai keseluruhan dadah pula dianggarkan berjumlah RM7.61 juta dan sitaan harta sindiket bernilai RM4.19 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE