fb fb fb fb fb

Bekas pembantu tadbir JKM Sarawak didakwa lakukan pengubahan wang haram, pecah amanah RM15 juta

Tertuduh diiringi polis ketika tiba di mahkamah

KUCHING, 7 Mac- Bekas Pembantu Tadbir Kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM Sarawak didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini atas 31 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM15 juta.

Tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja'afar @ Ang Chui Thong mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan di empat Mahkamah Seksyen berasingan di hadapan Hakim Iris Awen Jon, Afidah Abdul Rahman, Musli Ab Hamid dan Saiful Bahari Adzmi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

Tertuduh didakwa melakukan transaksi mencurigakan bermula pada tahun 2020 sehingga 2022 dengan jumlah keseluruhan RM4.7 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Sementara itu, bagi pertuduhan pecah amanah melibatkan gaji pekerja JKM Sarawak pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan melibatkan RM10.2 juta itu dilakukan pada 2019 sehingga 2021.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd Zairull Arzuan diikat jamin RM285,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE