fb fb fb fb fb

Polis rakam kenyataan Chegu Bard, Zahid Md Arip hari ini

PDRM

KUALA LUMPUR, 6 Mac- Polis hari ini merakam percakapan Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin dan Muhammad Zahid Md Arip berhubung kenyataan yang didakwa berbaur hasutan berkaitan kereta kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua mereka dirakam percakapan pada pukul 11.00 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit dengan menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN
Dua individu disiasat berhubung isu kenderaan kurniaan Agong kepada Anwar

SITI AISHAH MD ISA