JOHOR BAHRU, 8 September - Polis Johor merampas 80.3 kilogram syabu bernilai kira-kira RM2.57 juta dalam satu serbuan di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada 2 September lalu.
Dalam serbuan itu, polis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri dan seorang rakan berusia antara 34 hingga 43 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April tahun lalu dengan menjadikan pasaran Riau dan Batam, Indonesia sebagai sasaran.
Beliau berkata, sindiket turut menggunakan laluan laut untuk menghantar bekalan dadah tersebut.
“Modus operandinya adalah dengan menjadikan rumah teres dalam kawasan berpagar (gated and guarded) sebagai stor transit sebelum dadah diedarkan ke pasaran luar negara,” katanya dalam satu sidang media.
Siasatan juga mendapati suspek lelaki mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, manakala rakan wanitanya yang juga warga tempatan mempunyai enam rekod.
Selain tangkapan, polis turut merampas empat kereta, dua motosikal, wang tunai dan barangan kemas bernilai lebih RM400,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.