fb fb fb fb fb

Abu Sahid hadapi 17 pertuduhan libatkan RM452 juta

Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berhubung cadangan projek pembinaan lebuh raya MEX II / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 September - Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta serta 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta.

Kesemua pertuduhan adalah berkaitan cadangan projek pembinaan lebuh raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau MEX II.

Abu Sahid, 74, hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dan mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1.5 juta dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November.

Bagi pertuduhan pecah amanah, beliau didakwa menyalahgunakan lebih RM313 juta milik syarikat antara 2016 hingga 2019.

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bagi 13 pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa memindahkan dan melupuskan wang berjumlah lebih RM139 juta antara 2016 hingga 2019, termasuk menerusi pemindahan kepada beberapa individu dan syarikat pembinaan serta pengeluaran tunai 17 keping cek.

Kes dikemukakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah turut membenarkan permohonan agar semua pertuduhan dibicarakan bersama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE