fb fb fb fb fb

43 individu ditahan kes sabung ayam di Johor

Kegiatan sabung ayam dilaporkan dianjur di kawasan pedalaman, dengan hanya pelanggan dikenali dibenarkan masuk.

JOHOR BAHRU, 8 September - Seramai 43 individu termasuk 15 warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan sabung ayam, ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Johor Bahru dan Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 71 tahun, termasuk dua penganjur utama.

Beliau berkata, polis turut merampas 22 ekor ayam hidup, 12 ayam mati, sangkar besi, peralatan sabung ayam serta wang tunai berjumlah lebih RM22,000.

Katanya, kegiatan itu dianjurkan di kawasan pedalaman dengan hanya pelanggan dikenali dibenarkan masuk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Imigresen 1959/63.

TUN JULIA MOHD TAHIR