MELAKA, 8 September – Polis Melaka menumpaskan dua sindiket pusat panggilan penipuan dalam Op Merpati dengan menahan 19 individu berusia 21 hingga 60 tahun di tiga kediaman sekitar negeri itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan pada 2 dan 3 September itu dipercayai dijadikan pusat operasi penipuan membabitkan mangsa dari luar negara.
Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah apartmen di Jalan Tun Perak yang menyasarkan mangsa warganegara Indonesia dengan modus operandi mengiklankan telefon bimbit, motosikal dan kereta pada harga murah di aplikasi Facebook.
Hasil serbuan itu, tujuh lelaki warganegara Indonesia berusia 21 hingga 41 tahun ditahan.
Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah mewah di Ayer Keroh, menyasarkan mangsa warganegara China dengan modus operandi mengiklankan perkhidmatan seks melalui aplikasi Telegram.
Lapan individu ditahan, terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua wanita warganegara Filipina serta lima lelaki warganegara China berusia antara 30 hingga 60 tahun.
"Berdasarkan siasatan, polis kemudian menjalankan serbuan susulan di sebuah lagi kediaman di Bandar Hilir, Melaka, dan menahan empat lelaki warganegara China berusia 24 hingga 32 tahun.
Kesemua mereka dipercayai menerima gaji bulanan antara USD1,500 hingga USD2,300 daripada ketua sindiket," katanya dalam sidang media OP Merpati di sini.
Kedua-dua sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan jumlah rampasan bernilai RM575,000.
Antara barangan dirampas ialah 15 komputer dan komputer riba, tujuh penyesuai, tujuh tetikus, 29 telefon bimbit, tiga kereta, wang tunai RM9,000, wang tunai 974,000 KHR (Kemboja) serta USD800.
Kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, serta Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.