fb fb fb fb fb

Suspek utama kes samun, pecah rumah ditembak mati di Bukit Tunku

Polis mengusung mayat suspek utama kes samun yang ditembak mati di Jalan Bukit Tunku, di sini awal pagi tadi / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Polis menembak mati seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, dipercayai suspek utama kes samun dan pecah rumah sekitar Lembah Klang serta Perak sejak tahun lalu.

Insiden berlaku awal pagi tadi di Jalan Bukit Tunku, di sini dalam operasi khas Op Api KL 3/2025.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, semakan mendapati suspek memiliki 44 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

“Suspek dipercayai mengetuai kumpulan penjenayah seramai belasan orang, yang terlibat dalam kegiatan samun, kekerasan dan pecah rumah.

Jumlah kerugian kes dianggarkan melebihi RM1 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang digunakan suspek menemukan sepucuk pistol jenis revolver, peralatan pecah rumah dan sejumlah dadah.

Nombor pendaftaran kenderaan terbabit juga disyaki tidak berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dipercayai diseludup dari luar negara.

Mayat suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN