KUCHING, 6 Ogos -Dua kertas siasatan dibuka, berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia dua tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang berhampiran Jalan Wong Soon Kai, di Sibu malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian atau pendedahan terhadap kanak-kanak yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi, selain satu lagi kertas siasatan dibuka sebagai siasatan mati mengejut (SDR).
Jika disabitkan kesalahan bawah Akta Kanak-Kanak tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Isnin lalu, polis menerima laporan mengenai insiden itu pada pukul 11.09 malam daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sibu.
Mayat mangsa ditemukan pasukan bomba di dalam longkang berhampiran lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital berkenaan.
Ketika tiba di hospital, mangsa berada dalam keadaan basah, pucat dan tidak menunjukkan sebarang tanda hayat.
ACP Zulkipli turut mendedahkan siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian itu.