SUNGAI PETANI, 5 Ogos - Sebuah kilang kitar semula bateri terpakai yang beroperasi secara haram di kawasan Perindustrian Bukit Selambau, diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dalam satu operasi khas, hari ini.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil serbuan Ops Gempur itu, pihaknya menemukan kira-kira 100 metrik tan bateri terpakai yang mengandungi Lithium dan 317 metrik tan bateri terpakai yang telah dihancurkan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual.
Turut ditemui, kira-kira 20 metrik tan serbuk logam yang telah diperoleh kembali di dalam premis tersebut yang aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta lesen sah daripada pihak berkuasa.
"Premis berkenaan telah diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 ke atas mesin-mesin pengeluaran yang digunapakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan dan tanpa kebenaran JAS", katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjadi kemudahan penstoran luar buangan terjadual dan menjalankan aktiviti pemerolehan kembali luar tapak tanpa mendapat sebarang lesen daripada Jabatan Alam Sekitar.
Premis turut disiasat dibawah Seksyen 34A (6),Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan aktiviti pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual dan menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal tanpa Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 34B (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling.
Orang ramai diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat dan bekerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan http://eaduan.doe.gov.my.