PETALING JAYA, 15 Oktober – Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang pelajar berumur 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, semalam.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak polis.
Perintah reman sehingga Selasa depan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek, yang juga pelajar kelas peralihan tingkatan satu, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, seorang pelajar perempuan tingkatan empat dilaporkan maut selepas ditikam oleh suspek di kawasan sekolah berkenaan.