fb fb fb fb fb

AKPS rampas sosej tiada dokumen import sah

Foto IHSAN AKPS BUKIT KAYU HITAM

BUKIT KAYU HITAM, 15 Oktober - Cubaan membawa masuk 974 kilogram pelbagai jenis sosej tanpa dokumen pengesahan import yang sah digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Rampasan dilakukan hasil pemeriksaan rutin di laluan kenderaan awam di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, petang semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasarudin M. Nasir berkata pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan awam cuba membawa masuk makanan berkenaan yang juga tidak mematuhi pelabelan Akta Makanan 1983.

"Jumlah nilai pasaran pelbagai jenis sosej tersebut ialah RM14,000. Barang rampasan disimpan di stor sejuk kesihatan untuk tindakan lanjut oleh pihak KKM.

"Tiada individu ditahan dan tiada maklumat agen terlibat dalam kes ini," katanya menerusi kenyataan.

Semua barang rampasan akan dilupuskan selepas tempoh 30 hari mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan.

AKPS menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan import makanan dan minuman serta memastikan setiap produk yang dibawa masuk mempunyai dokumen kelulusan serta pelabelan yang sah.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang bagi menjamin keselamatan makanan dan kesihatan awam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga warga asing berusia lingkungan 30-an ditolak daripada memasuki negara ini kerana disyaki bukan pelancong tulen.

NORAINI BINTI WAHIB