KUANTAN, 14 Oktober – Seorang pesara syarikat swasta kerugian lebih RM535,000 selepas terpedaya dengan penipuan tawaran hadiah palsu yang kononnya dimenangi daripada sebuah syarikat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 65 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 1 September lalu yang mendakwa wakil sebuah syarikat.
Menurutnya, suspek memaklumkan bahawa mangsa memenangi tempat kedua dalam “Jamuan Penghargaan Pelanggan” anjuran syarikat berkenaan, dengan hadiah berupa berlian yang boleh ditebus dalam bentuk wang tunai berjumlah RM205,000.
“Mangsa kemudian membuat dua transaksi berjumlah RM6,150 ke akaun yang diberikan suspek sebagai bayaran deposit penebusan hadiah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selepas itu suspek terus memperdayakan mangsa dengan pelbagai alasan untuk membuat bayaran tambahan.
“Mangsa melakukan 30 transaksi ke 13 akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM535,758 bagi tempoh antara 3 September hingga 9 Oktober 2025 menggunakan wang simpanan serta pinjaman daripada ahli keluarga,” jelasnya.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang hadiah atau wang tunai seperti dijanjikan, sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.