SEREMBAN, 14 Oktober - Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes kematian murid lelaki Tahun Empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah di Senawang pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh, termasuk melibatkan Unit Sains Tingkah Laku (D11) dan Unit Siasatan Forensik (D10) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," katanya menerusi satu kenyataan.
"Fokus siasatan menumpukan kemungkinan unsur jenayah dalam kes mati mengejut (SDR), selain turut merangkumi aspek seperti kemungkinan insiden buli atau faktor lain,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, seramai 49 individu telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, Datuk Alzafny turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kes tersebut, kerana ia boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Media sebelum ini melaporkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia pada hari sama.
Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 2 Oktober mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher, dan tiada sebarang kecederaan lain ditemukan pada tubuh mangsa.