SHAH ALAM, 15 Oktober - Suspek kes tikam pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Petaling Jaya, semalam membeli pisau yang digunakan dalam kejadian itu secara dalam talian.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar. Beliau memberitahu, ketika kejadian suspek dipercayai memiliki tiga jenis senjata yang dimilikinya sejak sekian lama.
"Namun hanya satu jenis senjata digunakan dalam kejadian ini, iaitu pisau. Siasatan juga mendapati suspek memperolehnya dengan membeli secara dalam talian," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Datuk Shazeli turut memaklumkan siasatan mendapati tiada unsur buli terlibat.
"Faktor dorongan emosi serta pengaruh media sosial dikenal pasti antara punca tindakan suspek.
"Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah manakala aspek kesihatan mental suspek masih dalam siasatan lanjut," tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN
- Suspek tikam pelajar ditahan reman tujuh hari
- Kes tikam pelajar: Jemaah Menteri bincang langkah tegas - PM
- Kes tikam pelajar: Jangan tular gambar mangsa - MCMC
- Pentadbir sekolah kes pelajar maut ditikam dipindahkan ke PPD
- Jawatankuasa khas ditubuh, pastikan kes tikam pelajar disiasat telus
- Suspek kes tikam pelajar perempuan tingkatan 4 ditahan
Beliau turut memaklumkan hasil bedah siasat yang dijalankan malam tadi mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kesan tikaman berganda (multiple stab wounds) di bahagian leher dan dada.
"Kita masih menunggu laporan penuh pakar untuk mengetahui jumlah sebenar tikaman. Kesan kecederaan yang dialami mangsa adalah banyak," katanya yang memaklumkan motif utama tindakan suspek masih dalam siasatan.
Suspek kini direman tujuh hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Setakat ini seramai 57 individu termasuk rakan-rakan suspek telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.