fb fb fb fb fb

Suspek tikam dua wanita di tandas surau direman tujuh hari

Suspek, 46 tahun, direman tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes tikam dua wanita dalam tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah di Kelana Jaya, Jumaat lepas

PETALING JAYA, 13 Ogos- Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tikam jurujual dan guru besar dengan pisau rambo di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Jumaat lepas.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Isnin depan terhadap suspek warga tempatan berusia 46 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Petaling Jaya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shahrulnizam Ja'afar mengesahkan suspek diberkas ketika bersembunyi di rumah kenalannya di Kajang, Selangor pada 1.30 pagi tadi.

Dalam kejadian Jumaat lepas, seorang jurujual berusia 26 tahun mengalami kecederaan kepala dan perut, manakala guru besar berusia 52 tahun mengalami luka pada lengan dan tangan kiri akibat diserang lelaki itu sekitar pukul 1.30 tengah hari.

Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan dengan mangsa (jurujual) menerima rawatan lanjut, manakala seorang lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar.

Jurujual berkenaan bagaimanapun dilapor sudah stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa itu tidak mengenali suspek. Setakat ini, tujuh orang saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA