fb fb fb fb fb

Suspek tikam dua wanita di tandas surau ditahan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Suspek lelaki yang menyerang dua wanita dengan pisau rambo di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Jumaat lepas, berjaya ditahan di Kajang, Selangor pada 1.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shahrulnizam Ja'afar berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu diberkas ketika bersembunyi di rumah kenalannya di kawasan berkenaan.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pagi ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi RTM.

Shahrulnizam turut mengesahkan  seorang mangsa iaitu jurujual berusia 26 tahun sudah stabil dan telah dibenarkan keluar dari Hospital Shah Alam.

Beliau sebelum ini pada Sabtu melaporkan mangsa kedua melibatkan guru besar berusia 52 tahun telah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan lanjut.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari Jumaat lepas, jurujual terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan perut, manakala guru besar berkenaan luka pada lengan dan tangan kiri.

Berdasarkan siasatan awal sebelum ini, kedua-dua mangsa tidak mengenali suspek. 

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA