fb fb fb fb fb

Polis siasat 1,411 kes 'Phone Scam'

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohammed Yoosuf

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Sebanyak 1,411 kes 'Phone Scam' disiasat melibatkan nilai kerugian hingga lebih RM64 juta setakat Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohammed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu 87 kes membabitkan penyamaran penghantaran Pos Laju dengan nilai kerugian hampir RM3 juta.

"Begitulah keadaan magnitud kesan daripada jenayah 'parcel scam' ini, jadi kita mengalu-alukan MoU sebegini dengan yang lain-lain perkhidmatan kurier yang akhirnya kita dapat mengurangkannya," kata Ramli.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia dan Pengendali aplikasi Whoscall, di Ibu Negara.

MoU tersebut merupakan sebahagian inisiatif pencegahan jenayah komersil yang dilaksanakan bagi mengekang ancaman penipuan dalam talian yang semakin serius.

Pos Malaysia merupakan syarikat tempatan yang pertama bekerjasama dengan 'Whoscall' dalam melaksanakan penandaan nombor yang disahkan.

Kolaborasi kedua-dua pihak membolehkan perkongsian sumber data yang digabungkan dengan aplikasi teknologi antipenipuan yang berkuasa oleh Whoscall, sekali gus dapat melindungi rakyat dengan lebih menyeluruh daripada semua jenis penipuan dalam talian termasuk penipuan bungkusan.

Kerjasama inovatif yang disokong Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dapat mengesahkan lebih 6,600 nombor telefon operasi yang digunakan Pos Malaysia.

TETITIA YUSOFF