SEPANG, 12 Ogos- Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Sedang pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital pada Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja itu juga didapati tidak mendapatkan rawatan susulan, seterusnya menyebabkan fikiran dan emosi terganggu.
Katanya, perkara itu disahkan oleh keluarga remaja itu ketika soal siasat baru-baru ini.
Remaja berkenaan akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sepang memandangan remaja itu masih di bawah umur.
"Dia juga telah meninggalkan persekolahan dan kita rujuk remaja ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sesi kauseling. Laporan JKM sebelum kita rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi sebarang pertuduhan,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPD Sepang, Selangor.
Baru-baru ini, remaja berusia 14 tahun itu ditahan di lobi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana disyaki menyamar sebagai pegawai perubatan.
Siasatan awal mendapati, suspek telah menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.
Polis turut merampas satu set alatan perubatan termasuk baju, seluar scrub dan lanyard milik hospital.