fb fb fb fb fb

Sindiket edar syabu dan pil ekstasi ke negara jiran dilumpuhkan, suspek ada enam rekod lampau

Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan dadah-dadah yang dirampas

SEPANG, 12 Ogos- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil ekstasi ke negara jiran berjumlah RM2.6 juta ringgit susulan penahanan seorang penganggur berusia 40-an, Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan lelaki tempatan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sabak Bernam di daerah itu pada 4.30 pagi.

Beliau berkata, polis merampas 50 bungkusan warna biru dan hijau bertulis teh herba Cina yang berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 50 kilogram (kg) serta pil ekstasi anggaran berat 6 kg yang dijumpai dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza.

"Suspek berumur 40 tahun, seorang penggangur, telah berkahwin. Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Hasil saringan awal air kencing, suspek positif methamphetamine. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM2.6 juta dipercayai untuk dipasarkan ke negara jiran,"katanya.

Jelas Datuk Hussein, suspek ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dari 8 ogos hingga 13 ogos 2024. Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, suspek dipercayai terlibat sebagai keldai dadah sejak enam bulan lalu.

Susulan penahanan suspek, pihaknya berjaya menahan dua lagi individu warga asing, seorang lelaki dan seorang wanita berusia 30-an yang dipercayai sebagai rakan rangkaian pengedaran dadah ke negara jiran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE