fb fb fb fb fb

Polis buru empat lagi suspek kes culik lelaki warga China dan wanita tempatan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media di IPD Sepang

SEPANG, 12 Ogos- Empat lagi suspek kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuharaya Mex, berhampiran Cyberjaya, 11 Julai lalu, sedang diburu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat yang diburu itu merupakan warga tempatan, tiga daripadanya lelaki dipercayai masih berada di dalam negara.

Dalam beberapa siri serbuan dilakukan, pihak polis berjaya merampas kembali wang tunai berjumlah RM1.65 juta yang dijadikan sebagai duit tebusan dan barangan bernilai serta kenderaan dengan nilai keseluruhan RM3.1 juta. 

"Daripada rampasan wang tunai dan juga barang barang yang ditemui ini, anggaran yang dirampas adalah RM3.1 juta dan pihak polis percaya kita telah hampir selesai kes ini. Kita percaya yang terlibat adalah 18 orang iaitu empat yang telah ditembak mati, 10 yang telah ditangkap masih dalam tahanan reman dan empat lagi masih diburu oleh pihak polis,"katanya.

Pihak polis sebelum ini berjaya menembak mati empat suspek dalam insiden berbalas tembakan semasa operasi di Skudai, Johor pada tengah malam 1 Ogos lalu.

Kesemua 18 individu itu mempunyai pelbagai peranan bermula dengan pekerja mangsa bersama perancang utama dalam proses penculikan.

Beliau yang berkata demikian dalam sidang media di IPD Sepang berkata, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE