fb fb fb fb fb

Guru tak mengaku terima suapan lebih RM33,000

Abdul Aziz Husin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan bernilai RM33,870 pada November 2022 dan Januari tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 13 Ogos- Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM33,870 pada November 2022 dan Januari tahun lepas. 

Tertuduh, Abdul Aziz Husin, 54, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail. 

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada lapan anak itu didakwa telah diberikan empat kali suapan keseluruhan bernilai RM33,870 daripada dua individu berbeza dan dia gagal melaporkan pemberian itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Niaga, dalam daerah Kota Tinggi, pada 19 November 2022 dan 17 Januari tahun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Sharif.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM20,000 untuk kesemua pertuduhan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 8 September depan.

SITI AISHAH MD ISA