GEORGETOWN, 7 November- Seorang lelaki bertindak menikam diri sendiri selepas menikam dua beranak sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri dekat Bandar Baru Farlim, Ayer Itam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.54 tengah hari.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya telah bergegas ke lokasi setelah menerima maklumat berkaitan kejadian dari orang awam.
Setibanya di lokasi terbabit, pihaknya telah mendapati tiga orang warga tempatan telah terbaring di hadapan lobi lif pangsapuri berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.
Mangsa, masing-masing berusia 62 tahun dan 30 tahun merupakan bapa dan anak, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lelaki dipercayai suspek, berusia 32 tahun telah ditahan, namun mengalami kecederaan akibat mengelar dan menikam diri sendiri setelah membunuh kedua-dua mangsa.
Suspek telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Motif pembunuhan sedang disiasat pihak polis.
Polis menggesa orang awam yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.