fb fb fb fb fb

Imigresen serbu gudang, 22 warga asing ditahan

Foto RTM

KLEBANG, 7 November- Seramai 22 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Melaka dalam serbuan di sebuah gudang menyimpan, memproses dan mengedar barang makanan di Pulau Gadong, Melaka.

Kesemua ditahan masing-masing 10 warga Pakistan, 10 warga Nepal dan dua warga India berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua yang ditahan disyaki tinggal lebih masa selain melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Gudang tersebut juga dipercayai beroperasi tanpa lesen yang sah.

Siasatan awal mendapati gudang terbabit menggunakan khidmat ejen pekerja asing untuk membekalkan tenaga pekerja bagi kerja-kerja memproses dan menghantar barangan makanan serta minuman.

Pihak Imigresen turut mengeluarkan saman saksi kepada pengurus dan kerani gudang berkenaan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam dua serbuan berasingan di sebuah kedai makan dan pasar borong sekitar Melaka Tengah, Imigresen turut menahan 11 warga asing kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan melanggar syarat pas serta permit yang dikeluarkan.

Beliau menegaskan tindakan tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pemilik premis dan majikan yang menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan serta pas/permit kerja yang sah dan melanggar Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD