fb fb fb fb fb

Op Kita Gempur: KPDN Melaka rampas lebih 500kg minyak masak subsidi

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar /Foto RTM

MELAKA, 7 November- Kira-kira 560 kilogram minyak masak paket bersubsidi termasuk 50 kilogram tepung gandum bernilai lebih RM1,500 berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dalam Ops Bersepadu Kita Gempur di tiga lokasi sekitar negeri itu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, operasi kali ini turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Melaka.

Dalam operasi tersebut, enam warga Bangladesh berusia 30 hingga 40-an turut ditahan untuk siasatan dibawah Akta Imigresen 1959 serta peraturan-peraturan imigresen 1963.
 
Dua daripadanya akan disiasat dibawah seksyen 21 akta kawalan bekalan 1961 (AKB) dan dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan 1974 (PPKB).

Malah, hasil siasatan permit seorang penjual sayur warga Bangladesh yang menjadi dalang pengedar minyak masak paket itu adalah untuk tujuan bekerja sebagai buruh asing di tapak pembinaan dan setelah tamat tempoh, individu terbabit bekerja sebagai tukang cuci sambil sebagai ejen jualan minyak masak.

"Dalang ini dia terlibat dengan ketirisan minyak masak di dalam ladang kelapa sawit tiga-empat bulan yang lepas di mana dia akan menjadikan sebagai hab dan dia menjual di kawasan-kawasan banyaknya tempat warga asing berkumpul macam di kawasan pembinaan di kawasan ladang-ladang kelapa sawit.

"Jadi, dia akan menjual di situ. Sekali dia ambil mungkin dalam 5 ke 10 kotak dan sebagainya. Dia jadi macam ejen untuk peniaga-peniaga", katanya yang ditemui pemberita dalam Ops Bersepadu Kita Gempur di Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini.

Tambahnya, pihaknya percaya terdapat tiga hingga empat lokasi untuk jualan minyak paket bersubsidi.

Pihaknya kini masih dalam siasatan untuk mengesan pemborong bekalan tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD