PUTRAJAYA, 7 November- Mahkamah rayuan di sini hari ini memerintahkan pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian perundangan membabitkan Enklaf Duta agar mengemukakan hujahan lanjut berhubung nilai tanah di kawasan seluas 106.7 hektar itu.
Hujahan itu termasuk pengiraan pampasan yang perlu dibayar kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd, jika mahkamah membuat keputusan memihak kepada syarikat berkenaan, iaitu sama ada ia berdasarkan nilai pasaran semasa atau nilai ketika ia diambil oleh kerajaan.
Datuk Lee Swee Seng, yang mempengerusikan panel tiga hakim, turut mengarahkan mereka agar mengemukakan hujah sama ada Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8 Akta Relief Khusus 1950, yang melarang mahkamah daripada mengeluarkan perintah mandamus di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara bagi memindah milik tanah itu kepada syarikat berkenaan, adalah bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Isu lain ialah bidang kuasa mahkamah itu untuk mengembalikan kes tersebut ke mahkamah tinggi untuk pentaksiran ganti rugi kepada Semantan Estate.
Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azimah Omar dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mendengar hujah peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Semantan Estate serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Liew Horng Bin yang mewakili Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.
Mahkamah telah menetapkan 20 Februari tahun depan untuk mendengar hujahan lanjut berhubung isu itu.
Tanah yang dipertikaikan itu terletak di kawasan utama Jalan Duta yang menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pada 7 Ogos lepas, hakim Ahmad Shahrir memerintahkan kerajaan memindahkan hak milik tanah itu kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mahkamah juga mengarahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan supaya memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dalam tempoh tiga bulan, mendaftarkan Semantan Estate sebagai pemilik tanah, memuktamadkan semua dokumentasi pemindahan dan mengeluarkan hak milik tanah tanpa sebarang bebanan atau liabiliti.
Berikutan itu, kerajaan memfailkan rayuan pada 8 Ogos, dan pada 12 September, berjaya memperoleh penangguhan keputusan mahkamah tinggi sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Rayuan.
Kes itu bermula pada 2003 apabila Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah, dan rayuan berikutnya oleh kerajaan telah ditolak oleh mahkamah persekutuan pada 2012 dan 2018.
Semantan Estate memulakan tuntutan terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman mahkamah tinggi pada 2009, manakala kerajaan mencadangkan penyelesaian kepada pertikaian tanah yang sedang berjalan.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman mahkamah tinggi pada 2009.
Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.- BERNAMA