fb fb fb fb fb

Suspek bunuh pemandu jengkaut direman tujuh hari

Foto RTM

PASIR MAS, 25 Oktober - Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman ke atas suspek kes bunuh pemandu jengkaut yang ditemukan dengan kesan tetakan, dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi bermula hari ini hingga 31 Oktober bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mangsa Mohd Suhairi Hasim, 46, ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 11 malam oleh ibunya.

Mangsa dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian badan sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanannya putus.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie ketika dihubungi memaklumkan, hasil saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Polis tidak menolak kes bermotifkan dendam," ujarnya yang memaklumkan suspek mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN