KUANTAN, 8 Ogos - Suspek kes pecah amanah melibatkan cip kasino bernilai RM3 juta di Genting Highlands, Bentong dipercayai telah berada di luar negara.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, suspek lelaki berusia 44 tahun dikenali sebagai Victor Lee telah disenarai sebagai orang dikehendaki.
Datuk Seri Yahaya berkata, pihak polis sedang mempertimbang untuk mendapatkan bantuan Interpol bagi tujuan pengesanan suspek.
"Siasatan mendapati, sebahagian daripada cip berkenaan telah ditukar kepada wang tunai, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan.
"Pihak polis juga sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai rakan subahat bagi membantu menguruskan cip berkenaan," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini.
Lee yang dipercayai bekas pekerja sebuah syarikat junket (dadih) dikatakan kembali ke pusat peranginan berkenaan untuk melaksanakan rompakan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebatan, dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Datuk Seri Yahaya menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuantan.
Pada majlis tersebut, bekas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuantan baharu dengan pangkat Asisten Komisioner.