JOHOR BAHRU, 8 Ogos -Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya merampas sebanyak 13,968 unit cecair serta 5,215 unit peranti rokok elektronik (vape) bernilai RM1.219 juta pada enam Ogos lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintenden Salehin Suleiman berkata, rampasan dibuat menerusi operasi bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan, di Batu Pahat, Ayer Hitam dan Johor Bahru.
“Semua barangan dirampas kerana tidak mempunyai dokumen penjualan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai enam individu turut ditahan iaitu empat lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan vape tanpa lesen.
PBT terlibat turut mengeluarkan notis sitaan terhadap enam premis terlibat dan tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Lesen Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2021.