fb fb fb fb fb

Dua wanita ditahan, 1,403 spesies serangga dilindungi dirampas di Central Market

Foto Batalion 19 PGA Cheras

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras menahan dua wanita tempatan dan merampas 1,403 ekor pelbagai spesies serangga mati yang dipercayai dilindungi bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di Central Market, di sini.

Serbuan dilakukan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bersama Wildlife Crime Unit (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya membongkar kegiatan penjualan hidupan liar dilindungi di dua premis cenderamata di Central Market, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 19 PGA, ACP Rajab Ahad Ismail dalam kenyataan memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM342,864.

"Menurut undang-undang pemilikan, penjualan, pembelian atau penyimpanan spesies hidupan liar dilindungi tanpa permit sah boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi kenyataan itu.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada PERHILITAN untuk siasatan lanjut.

ACP Rajab Ahad turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti pemburuan dan perdagangan haram hidupan liar kepada pihak berkuasa.

TETITIA YUSOFF