SIPITANG, 9 Ogos - Proses gali semula kubur pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, selesai kira-kira pukul 7.15 malam tadi.
Mayat kini dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
Petang tadi, tinjauan mendapati orang ramai yang membawa payung dihalang daripada memasuki tanah perkuburan itu bagi memastikan proses gali semula berjalan lancar.
Tinjauan juga mendapati pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4.56 petang.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.