fb fb fb fb fb

Suspek rempuh MPV polis di Johor positif dadah

Aksi kejar mengejar sebuah kereta merempuh kereta peronda polis/syot layar video tular

JOHOR BAHRU, 16 Januari - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri di sebuah pam minyak di Jalan Masai Lama dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek juga dipercayai di bawah pengaruh dadah cuba melarikan diri dengan memandu kereta hampir 20 kilometer.

"Pada mulanya, suspek diarahkan unit kereta peronda (MPV) untuk memberhentikan kenderaannya di Jalan Besar Skudai menghala ke Tampoi untuk diperiksa kerana dalam keadaan mencurigakan.

"Namun, suspek bertindak memecut laju dan telah melanggar kereta peronda polis yang berjaya memintas kenderaanya di kawasan stesen minyak itu.  

"Hasil pemeriksaan dan semakan rekod mendapati, polis menjumpai sebilah parang panjang di dalam kereta dan suspek mempunyai beberapa rekod jenayah serta kes dadah," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif jenis dadah methaphetamine. 

Katanya, lelaki yang berusia 37 tahun itu direman selama empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952. 

Terdahulu, aksi polis mengejar dan berjaya menghalang kereta yang dipandu suspek berjaya dirakam dan tular di media sosial.

GRACE AISYAH KEDAYAN