fb fb fb fb fb

Suspek pecah rumah ditahan, seorang cedera ditembak

FOTO HIASAN

SUBANG JAYA, 29 Mac- Seorang daripada dua suspek kes pecah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya, semalam telah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru di bahagian bawah pusat dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat menerusi satu kenyataan memaklumkan, suspek berusia 30-an itu masih menerima rawatan di sebuah hospital di Subang Jaya, manakala seorang lagi suspek, berusia 40-an, kini dalam tahanan reman.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, selain ujian air kencing mengesahkan mereka positif Methamphetamine,” katanya.

Menurut Wan Azlan, ketika tangkapan dibuat, polis menemukan beberapa barang milik mangsa yang disyaki hasil jenayah tersebut. Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah itu, dan pihak polis sedang menyiasat kemungkinan mereka terbabit dalam jenayah lain.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang semalam, polis menahan dua lelaki selepas mereka memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14.

Suspek yang cuba melarikan diri bertindak agresif dengan melanggar motosikal serta seorang anggota polis di lokasi kejadian, menyebabkan pihak berkuasa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mereka.

Seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan akibat dirempuh dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE