fb fb fb fb fb

Bengkel jadi port judi, 14 lelaki ditahan

FOTO IPD TIMUR LAUT

PULAU PINANG, 29 Mac- Taktik sekumpulan lelaki menjadikan sebuah bengkel membaiki dan mengecat kenderaan sebagai lokasi perjudian akhirnya terbongkar selepas serbuan pihak polis awal pagi tadi.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira jam 2.30 pagi di Sungai Pinang, seramai 14 lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 55 tahun ditahan.

Siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif berjudi sejak lima hari lalu bagi mengumpul wang untuk persiapan Aidilfitri serta pulang ke kampung halaman. Setiap pertaruhan mencecah sehingga RM500 bagi satu pusingan permainan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rozak Muhammad mengesahkan penahanan kesemua suspek dan merampas 52 keping daun terup, wang tunai berjumlah RM4,288, tiga unit walkie-talkie serta peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) akta yang sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE