KUALA LUMPUR, 29 Mac- Polis mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kekecohan antara penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman berkata laporan dibuat seorang anggota penguat kuasa DBKL, hari ini.
Menurutnya, video berdurasi satu minit 42 saat dikesan selepas dimuat naik pemilik akaun Facebook yang memaparkan pasukan penguat kuasa DBKL menyita barangan penjaja belon di tepi jalan.
"Semasa proses penyitaan, berlaku pergelutan antara anggota dengan penjaja terbabit. Selain itu, beberapa penjaja tepi jalan yang lain turut membuat provokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sulizmie berkata pihaknya akan mengesan semua individu yang disyaki terbabit untuk diambil keterangan.
Tegasnya, polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang dengan tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
BERITA BERKAITAN