GEORGE TOWN, 10 Ogos - Polis menahan seorang lelaki tempatan, Pang Chin Tian, 59 tahun, kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas, semalam.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, mengesahkan bahawa suspek ditahan malam tadi. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok bagi cadangan pertuduhan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Pencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Setakat ini, polis menerima 16 laporan berhubung kejadian tersebut, dengan 12 daripadanya daripada kontinjen negeri dan selebihnya dari luar negeri.
Semalam, tular rakaman video 21 saat di media sosial memaparkan lelaki berkenaan mengibarkan Jalur Gemilang terbalik menggunakan sebatang besi, sambil seorang lagi individu merakam aksinya.
Perbuatan itu mengundang kecaman ramai kerana dilakukan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 hujung bulan ini.