fb fb fb fb fb

Ibu dan dua anak ditahan bersama 35 kg ganja

Sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.

KOTA BHARU, 10 Ogos - Seorang wanita bersama dua anak lelakinya ditahan bersama 35 kilogram dadah dipercayai ganja dan sepucuk pistol. Penahanan dibuat di sebuah banglo di Ketereh, Kelantan, 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan pukul 4.30 petang itu turut menemui satu magazin, 16 butir peluru serta empat kenderaan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM420,000.

Menurutnya, suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan bersama anak-anaknya berusia 23 dan 34 tahun.

“Wanita ini tahu kegiatan anak-anaknya dan pernah menasihati mereka beberapa kali. Kita tahan kerana disyaki menyembunyikan maklumat dan bersubahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.

Sindiket itu menggunakan rumah sebagai stor simpanan sebelum diedarkan melalui perkhidmatan kurier dan dipercayai aktif sejak 2023.

Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki positif methamphetamine dan ketamin.

Dadah yang dirampas mampu menampung keperluan lebih 35,000 penagih serta dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Kelantan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tujuh hari sehingga Selasa.

Ketua kumpulan pengedaran dadah berkenaan sebelum ini ditahan pada 2023 dan kini menjalani hukuman penjara, namun kegiatan diteruskan oleh ahli keluarga yang ditahan dalam serbuan terbaharu itu.

TUN JULIA MOHD TAHIR